KUALA LUMPUR, 4 Mac – MIDF Research optimis perdagangan luar Malaysia akan meningkat dengan berterusan pada 2024, dengan eksport menokok 5.2 peratus tahun ke tahun, disokong oleh permintaan global yang semakin meningkat dan harga komoditi yang stabil.

“Jangkaan pemulihan terhadap eksport Malaysia adalah antara faktor untuk mendorong kenaikan ringgit pada 2024, dengan purata RM4.38 setiap US$1 (berbanding kadar purata US$1= RM4.56 pada 2023),” kata unit penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu dalam nota pada Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Manufacturing bagi Malaysia yang mencatat angka lebih tinggi iaitu 49.5 pada Februari 2024, bacaan tertinggi sejak September 2022.

Peningkatan dalam PMI pembuatan Malaysia itu menunjukkan prestasi perdagangan luar yang lebih berkembang dalam tempoh beberapa bulan akan datang, katanya.

Selain itu, ia menjangkakan perdagangan serantau, terutamanya di Asia, akan kekal pada trajektori meningkat memandangkan PMI Pembuatan Caixin China meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan pada 50.9 pada Februari 2023, mengatasi ramalan pasaran iaitu 50.6.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here