BEIJING 1 Nov — Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping berharap agar Parti Komunis Vietnam dapat bersama-sama berusaha ke arah kesejahteraan rakyat dan kemajuan manusia, serta giat mendorong pembangunan modenisasi sosialis.

Ketika bertemu rakan sejawatannya Nguyen Phu Trong pada Isnin beliau menggesa untuk menolak sebarang gangguan kuasa yang boleh menggugat asas sistem masyarakat. 

Xi menyambut baik lawatan rasmi Nguyen Phu Trong ke China setelah berakhirnya Kongres Kebangsaan Ke-20 PKC.

“Negara sosialis seperti China dan Vietnam yang berdikari dan bergerak ke depan seiring dengan arus pembangunan dunia berjaya membangunkan modenisasi yang sesuai dengan keadaan negara sekali gus mendinamikkan sosioekonomi. 

“Kedua-dua parti diharap dapat mempertingkat pertukaran pengalaman tentang mentadbir parti dan negara, mengekalkan interaksi peringkat tinggi dan dialog strategik antara tentera, memperluas hasil kerjasama keselamatan penguatkuasaan undang-undang serta memelihara keselamatan politik dan kestabilan masyarakat masing-masing,” kata Xi.

Beliau berkata asas ekonomi masyarakat sosialis semakin diperkukuh dan China bersedia mengembangkan penyelarasan strategik, mendorong kesalinghubungan, membentuk rantaian industri dan pembekalan yang mantap.

Selain itu beliau berkata China juga bersedia untuk menggalakkan perusahaan intensif teknologi yang bereputasi baik melabur ke Vietnam, memperkasa kerjasama bilateral dalam perubatan dan kesihatan, pembangunan hijau, ekonomi digital dan pendekatan menangani perubahan iklim. 

“China mengutamakan ASEAN dalam diplomasi kejiranan dan pembangunan berkualiti tinggi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), mementingkan kedudukan dan peranan Vietnam dalam ASEAN, menanti-nantikan pembangunan ‘kampung halaman yang damai, sentosa, makmur, indah dan ramah’, mendorong integrasi ekonomi rantau Asia Timur.

“China bersedia mengamalkan multilateralisme yang sebenar bersama dengan ASEAN, mempertahankan keterbukaan serantau, menggalakkan situasi semasa serantau dan antarabangsa berkembang ke arah yang damai, stabil, adil dan rasional di samping membangun komuniti berkongsi nasib sesam insan,” kata Xi.

Phu Trong dalam ucapannya turut bersetuju dengan saranan Xi berhubung perkembangan hubungan parti dan negara.

“Vietnam bersedia memperkukuh hubungan politik yang saling mempercayai, mengintensifkan hasil kerjasama ekonomi, memelihara kedamaian serta kesentosaan sempadan darat dan kestabilan laut, mengelak gangguan masalah maritim kepada hubungan bilateral,” katanya.

Phu Trong berkata pihaknya akan giat menaik taraf persahabatan dan perkongsian rakan strategik komprehensif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here