SEREMBAN, 3 Nov — Parlimen Sungai Buloh adalah kawasan selamat untuk Khairy Jamaluddin bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata keputusan menempatkan Khairy di Parlimen itu kerana penerimaan jentera parti yang amat mengalu-alukan Menteri Kesihatan itu untuk bertanding di Sungai Buloh.

“Sungai Buloh mempunyai pengundi Melayu lebih 70 peratus, kerusi yang amat selamat untuk Khairy. Ketua Bahagian UMNO Sungai Buloh adalah setiausaha politik Khairy (Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid), UMNO di situ mengalu-alukan beliau, lebih baik ke sana daripada tempat yang tidak menerima dia.

“Jangan salah faham. Ia kerusi selamat disebabkan orang di situ mahukan calon daripada UMNO. Saya yakin Khairy akan cemerlang di kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada calon BN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Khairy yang dicalonkan bagi Parlimen Sungai Buloh.

Beliau berkata Khairy adalah pemimpin berwibawa dan mempunyai masa depan cerah dalam parti.

Baru-baru ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Khairy iaitu penyandang Parlimen Rembau dicalonkan di Parlimen Sungai Buloh pada pilihan raya yang akan diadakan 19 Nov ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here