MELAKA, 6 Nov — Melaka tidak melarang mana-mana exco kerajaan negeri untuk turun membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia terserah kepada exco terbabit jika mempunyai masa lapang tanpa mengabaikan tugas hakiki yang dipertanggungjawabkan termasuk peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing.

“Saya yakin exco-exco saya akan membuat kerja seperti biasa…turun padang,  lapangan itu tugas biasa sama ada exco ataupun dalam kalangan ADUN. Tetapi sebelah malamnya, kalau mereka ada masa lapang di luar daripada tugas hakiki, itu terserah kepada exco mahupun ADUN untuk membantu (calon BN) dalam kempen pilihan raya.

“Mereka yang telah diberi mandat dan portfolio, jalankan tugas seperti biasa. Ada masa, kelapangan boleh (turun berkempen),” katanya kepada pemberita selepas melawat pembinaan Masjid Safinah An Najah di Tambak Paya di sini hari ini.

Hadir sama exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman dan calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Melaka mempunyai enam kerusi Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here