KUALA LUMPUR, 6 Nov — Memasuki hari kedua kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rata-rata calon mula mendekati pengundi di kawasan Parlimen masing-masing dengan pelbagai program, antaranya berkunjung ke lokasi tumpuan awam seperti pasar dan premis makanan.

Lokasi tersebut yang sememangnya menjadi tumpuan orang ramai sejak pagi untuk membeli barangan keperluan dan bersarapan bersama keluarga, adalah ‘lokasi strategik’ bagi calon menyantuni dan mendekati pengundi. 

Penyandang Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri, hari ini memulakan kempen dengan menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Sehari Kerayong.

Terkenal dengan sikapnya yang mesra khususnya terhadap kanak-kanak, calon Barisan Nasional (BN) itu dilihat tidak kekok mendekati masyarakat, malah sering disapa ‘atok’.

Gagasan Keluarga Malaysia yang dicetuskan Ismail Sabri pada Oktober 2021, diterjemahkan dalam setiap programnya termasuklah ketika berkempen.

Ternyata pendekatan kekeluargaan dalam menyatukan pelbagai kaum dan fahaman itu, menjadi resepi utama yang berjaya mendekatkan beliau dengan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Calon Parlimen Sepang Datuk Seri Rina Mohd Harun turut mendekati pengundi di kawasannya dengan menyantuni lebih 50 pelanggan yang memanfaatkan cuti hujung minggu bersarapan bersama keluarga di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong.

Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu yang berasal dari Sepang itu, diibaratkan bagai sirih pulang ke gagang pada PRU kali ini, setelah sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa.

Pantang berundur sebelum berjuang; calon BN Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh, yang menyifatkan gelanggang PRU15 sebagai pertarungan paling sengit dalam karier politiknya, tetap giat berkempen bagi memikat pengundi di kawasan baharu yang diamanahkan oleh pucuk pimpinanUMNO.

Wakil rakyat Rembau selama tiga penggal itu memulakan agenda dengan bersarapan di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Kota Damansara sebelum memeriahkan Program Kacau Wajik Durian anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Paya Jaras Tengah.

Selain itu, calon Pakatan Harapan daripada PKR di Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula melakukan beberapa walkabout di pasar pagi, pusat penjaja dan premis makanan di kawasan itu seawal 9 pagi tadi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut dijadualkan menghadiri program santai bersama anak muda dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Tadika Perpaduan Sri Pulau Pinang.

Berbeza dengan calon lain, calon BN di Parlimen Seputeh Lee Kah Hing pula menggunakan pendekatan gaya hidup sihat dengan bersenam bersama komuniti di Taman Bukit Jalil, sebelum singgah di pasar pagi OUG untuk beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here