SHANGHAI, 7 Nov — Forum Laureate Dunia kelima yang bertemakan “Sains ke hadapan, bersama-sama cipta masa depan yang cerah” membuka tirainya di sini, pada Ahad.

Anjuran bersama Persatuan Laureate Dunia (WLA), Persatuan Sains dan Teknologi China (CAST) dan Kumpulan Media China (CMG) forum itu turut menghimpunkan 27 pemenang Hadiah Nobel, lebih 30 ahli dari Akademi Sains China dan Akademi Kejuruteraan China serta lebih 100 belia. 

Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) bandar Shanghai, Chen Jining dalam ucapan pembukaannya berkata Kongres Kebangsaan ke-20 PKC telah menetapkan pelan induk modenisasi ala China dan rancangan baharu tentang peningkatan pembangunan bersama-sama antara China dengan dunia.

“Presiden Xi Jinping ketika merasmikan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelima menyatakan bahawa keterbukaan merupakan penggerak penting bagi kemajuan tamadun insan dan pendekatan penting untuk mewujudkan pembangunan dan kemakmuran dunia,” kata Chen.

Sementara itu, Presiden CMG, Shen Haixiong ketika berucap pada majlis perasmian berkata CMG akan menggalas tangggungjawab dan misi sebagai media kelas pertama dan arus perdana di dunia, mempopularkan sains untuk seluruh umat manusia.

Pengerusi WLA yang juga pemenang Hadiah Nobel Kimia 2006, Roger David Kornberg dalam ucapannya berkata sains menjadi penggerak bagi kemajuan manusia.

“Presiden Xi memberitahu bahawa dunia sedang mengalami perubahan yang belum pernah berlaku dalam tempoh seabad lalu.

“Seluruh dunia sedang mengalami perubahan. Sains bukan sahaja dapat menangani cabaran-cabaran tersebut malah dapat menyelesaikan masalah dengan sepenuhnya,” kata beliau.

Kornberg berpendapat bahawa forum kali ini sebagai platform terbaik untuk para peserta bertukar-tukar pendapat dengan saintis terunggul di dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here