SHAH ALAM, 6 Nov — Perikatan Nasional (PN) mengemukakan tawaran bagi Pilihan Raya Umum ke-15 termasuk memberikan tumpuan merancakkan ekonomi melalui Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion dan mencipta sejuta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan tawaran PN di sini malam ini, berkata ia merupakan antara 50 tawaran utama gabungan itu selain akses perkhidmatan kesihatan terpilih percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan menerusi Kad Prihatin Nasional, kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala serta diskaun 25 peratus bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan kelas kedua atas.

Selain itu, mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah, memacu pembangunan inklusif Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, penubuhan universiti awam baharu di Sabah dan Sarawak serta pelantikan Senator dalam kalangan belia dan beliawanis.

Tawaran PN turut meliputi menggagaskan Wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa depan generasi muda melalui pewujudan peluang ekonomi baharu dan menyediakan bantuan tunai RM1,200 setahun kepada pesawah serta RM800 setahun kepada pekebun kecil.

Muhyiddin berkata sekiranya PN menang pada 19 Nov ini, cuti akan diisytihar pada 20 Nov bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu serta Johor dan 21 Nov bagi negeri lain untuk memudahkan pengundi keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti tambahan.

Bekas Perdana Menteri itu turut memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksana serta ditambah baik untuk semua lapisan masyarakat.

Katanya secara keseluruhan, PN menggariskan 12 tunjang serta 30 pendekatan dengan 234 tawaran dalam usaha membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.

Muhyiddin berkata tawaran PN yang bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang (PN BEST) itu boleh dilaksanakan secara cekap serta berkesan.

Beliau berkata antara 12 tunjang yang digarap ialah membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, membersihkan politik serta tadbir urus, mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum selain merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Selain itu, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan; memperkasa belia dan mensejahterakan keluarga muda; mengoptimumkan potensi wanita; membina warga emas yang sejahtera; memperkasa orang kurang upaya; memperkasa generasi Felda serta mentransformasikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil,” katanya.

Muhyiddin berkata bagi memantau dan memastikan tawaran PN dilaksanakan sepenuhnya, beliau akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi tujuan itu.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here