KUANTAN, 26 Sept (Bernama) — Setelah lebih seminggu ‘kelam’ akibat jerebu, pengusaha makanan laut kering sekitar Beserah di sini, kembali tersenyum apabila cuaca kembali panas hari ini.

Mereka menyifatkan jerebu yang melanda mengganggu kerja mereka ekoran tidak boleh menjemur hasil laut semasa keadaan berjerebu kuat kerana tiada sinaran matahari selain bimbang dengan tahap kebersihannya.

Penjual hasil laut proses di sini, Wong Kam Yuok, 52, yang sudah 15 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata tempoh jerebu yang lama menyebabkan beliau kekurangan stok ikan kering kerana tidak gemar menjemur produk itu di luar.

“Walaupun bekalan hasil laut yang diambil daripada pemborong sudah kering, saya menjadikan amalan untuk menjemur kali kedua selama beberapa jam sebelum dibungkus kerana mahu memastikan ia benar-benar kering bagi menjamin kualiti.

“Semasa jerebu, saya tidak mahu menjemur ikan kering kerana bimbang dengan kualiti udara… jadi saya hanya keluarkan stok yang ada sehingga ada beberapa rak kosong kerana tiada bekalan baharu,” katanya semasa ditemui Bernama di premisnya di Jalan Beserah di sini, hari ini.

Bagi pengusaha makanan laut kering Yeoh Watt Kin, 54, berkata keadaan jerebu menyebabkan tempoh lebih lama diperlukan untuk mengeringkan ikan masin yang ada masanya mengambil masa berhari-hari menyebabkan rutin perjalanan kerja terganggu.

“Seronok melihat cuaca kembali panas hari ini kerana cuaca terik membolehkan ikan yang dijemur bermula 6.30 pagi kering sekitar pukul 5.00 petang. Jadi kerja cepat selesai dan ikan kering dengan sempurna.

“Semasa jerebu kerja terganggu kerana kami tidak boleh menjangka bila ia akan bermula berbanding musim tengkujuh. Kami boleh membuat persiapan awal untuk menghadapi musim hujan berbanding jerebu,” katanya.

Pekerja syarikat pemprosesan ikan jeruk yang mahu dikenali sebagai Tiong, 52, berkata cuaca jerebu menyebabkan kerja bertambah kerana ikan yang tidak kering sepenuhnya perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk mengelakkannya busuk.

Beliau, yang sudah lima tahun bekerja di situ, menambah kata bahawa pada kebiasaannya ikan merah yang dijemur boleh kering sehari, namun disebabkan jerebu, seekor ikan mengambil masa antara dua ke tiga hari untuk kering, bergantung kepada saiz.

“Sudah seminggu lebih di sini berjerebu yang menyebabkan cuaca tidak terik dan sejak Selasa, hujan pula… jadi kerja kami tak selancar sebelumnya. Diharapkan cuaca panas hari ini berterusan supaya kami boleh mengejar semula apa yang tertangguh sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here