BANGKOK, 10 Nov — Thailand akan menjadi tuan rumah Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dari 14 hingga 19 November di Bangkok dengan para pemimpin akan membincangkan cara membawa rantau Asia Pasifik ke arah pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif daripada COVID-19.

Sidang kemuncak pertama itu dalam tempoh empat tahun bertemakan “Terbuka. Sambung. Seimbang.” berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Ratu Sirikit (QSNCC) di Bangkok.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar Negeri Thailand berkata kedua-dua persiapan substantif dan logistik sedang dijalankan untuk menyambut kedatangan para pemimpin, menteri, perwakilan serta media antarabangsa ke APEC 2022 Thailand.

“Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC dengan para pemimpin akan membincangkan cara untuk memajukan rantau Asia-Pasifik ketika berdepan cabaran ekonomi global yang berterusan, ke arah pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif daripada COVID-19.

“Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga akan menghadiri mesyuarat itu untuk berkongsi pandangan beliau mengenai prospek ekonomi global,” katanya.

Pada 2019, AELW yang dijadualkan di Chile dibatalkan kerana protes anti-kerajaan di seluruh bandar di negara itu. Pada 2020, Malaysia menjayakan AELW maya manakala pada 2021 New Zealand menjadi tuan rumah bagi satu lagi sidang kemuncak maya berikutan penangguhan akibat COVID-19

Raja Thailand Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida dengan berbesar hati akan meraikan semua pemimpin dan wakil APEC yang menghadiri AELM.

Program AELW akan dimulakan dengan Mesyuarat Akhir Pegawai Kanan (CSOM) pada 15 dan 16 Nov.

Pegawai Kanan APEC akan bekerjasama untuk merumuskan tugasan penting sejak awal tahun sebagai pengerusi, termasuk rundingan draf dokumen hasil AELW, dan persiapan untuk Mesyuarat Menteri-menteri (AMM) APEC ke-33 pada 17 Nov serta Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-29  (AELM) pada 18 dan 19 Nov.

Sebagai tuan rumah tahun ini, Thailand akan mengalu-alukan pemimpin dan wakil daripada 21 ekonomi termasuk Presiden China Xi Jinping dan Naib Presiden AS Kamala Harris yang dijangkakan menghadiri sidang kemuncak itu.

Thailand juga menjemput pengerusi semasa ASEAN Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Putera Mahkota Arab Saudi dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud serta Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk membincangkan bagaimana APEC dan rakan dagangnya boleh bekerjasama untuk menggalakkan perdagangan mampan dan pelaburan di tengah-tengah cabaran ekonomi yang berterusan.

Dua aktiviti penting yang melibatkan pemimpin perniagaan dan belia APEC akan diadakan sempena AELW – Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC (16-18 Nov) dan Suara APEC Masa Depan 2022 (12 -19 Nov).

Masakan Thai, seni dan kraf serta persembahan kebudayaan akan dipamerkan sepanjang minggu untuk menyerlahkan identiti budaya dan layanan unik Thailand.

AELW juga akan mematuhi konsep “pertemuan hijau” selaras dengan Model Ekonomi Bio-Kitaran-Hijau yang merupakan tema menyeluruh APEC 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here