KUALA NERANG, 14 Nov — Tawaran yang dikemukakan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah untuk membantu rakyat dan berasaskan kepada realiti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata parti lain tidak perlu membuat dakwaan tawaran tertentu dalam manifesto BN sebagai hak mereka kerana perkara yang lebih penting adalah untuk membantu rakyat.

“Sebenarnya apa yang penting adalah tawaran kepada rakyat, bukan nak bergaduh fasal manifesto kerana yang kita mahu sekarang adalah apa manfaat yang rakyat boleh dapat berasaskan kepada realiti dan praktikal, itu sahaja.

“Tak perlulah nak tuntut ini saya punya atau itu awak punya, kerana yang penting kita nak tolong rakyat. Ini bukan soal nak jadi popular. Apa perkara yang praktikal dan boleh dilaksanakan untuk membantu rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program gotong-royong membersihkan Masjid Felcra Kubang Kenyeng, di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung, Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan mendakwa BN meniru agenda PN mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mahdzir turut menolak tanggapan bahawa manifesto BN tidak relevan kerana ia adalah janji-janji yang ditawarkan dengan mengambil kira pandangan ahli akademik, profesional dan teknokrat bagi menentukan apa yang terbaik untuk rakyat untuk jangka pendek dan jangka panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here