KUALA LUMPUR, 14 Nov — Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mahu jentera BN memastikan pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),  Sabtu ini.

“Semua data (pengundi) kita sudah ada…jadi tugas jentera BN adalah keluarkan pengundi yang telah kita kenal pasti bersama kita (BN) Sabtu ini supaya mereka boleh buat keputusan yang mereka pilih,” katanya pada sidang media BN, di sini, hari ini.

Mohamad turut optimis BN akan mendapat majoriti mudah pada PRU15 bagi membentuk kerajaan Persekutuan tanpa gabungan dengan mana-mana parti politik lain, sekiranya jentera BN mengekalkan momentum usaha keras.

Beliau berkata keyakinan mencapai sasaran itu adalah berdasarkan data pengundi serta perkembangan penerimaan pengundi khususnya pengundi muda terhadap BN, yang diperolehi daripada Pengerusi BN negeri.

“Berdasarkan laporan diterima, semuanya positif,” katanya pihaknya turut mendapati tahap sokongan pengundi ketika ini melebihi 50 peratus di kebanyakan kawasan Parlimen.

“Jadi saya yakin kita boleh menubuhkan kerajaan pada sebelah malam 19 Nov atau pagi 20 Nov,” katanya.

Mengambil contoh kejayaan BN menerusi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, Mohamad berharap momentum tersebut dapat dikekalkan pada PRU15 dengan usaha keras daripada jentera BN.

Katanya beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN sepanjang tempoh 10 hari berkempen di seluruh negara, dan tiada sebarang laporan diterima dari bilik gerakan BN berhubung kejadian tidak diingini.

“Sukacita saya laporkan gerak kerja jentera BN lancar,” katanya bahawa bilik gerakan BN dipantau setiap hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here