KUALA LUMPUR, 14 Nov — Pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan Malaysia yang menjadi faktor besar di sebalik data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang kukuh, diunjur meneruskan pertumbuhannya sehingga 2023.

Menerusi laporan Economic View Asia Pacific yang dikeluarkan pada Isnin, Moody’s Analytics menjelaskan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga telah mengatasi jangkaan, dengan penggunaan dan pelaburan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan itu.

Kemasukan pelancong yang tinggi telah mendorong permintaan untuk sektor perdagangan runcit, penginapan serta makanan dan minuman (F&B), justeru pertumbuhan dalam industri ini mungkin berterusan sehingga awal 2023, tambahnya.

Menurut firma itu, eksport produk pembuatan kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan kekal teguh hingga tahun depan walaupun mengalami kelembapan di China.

“Sektor elektronik terus berkembang, didorong oleh permintaan terhadap cip semikonduktor.

“Malaysia menempatkan beberapa pengeluar semikonduktor utama, dan eksport mungkin kekal teguh hingga tahun depan,” menurut Moody’s Analytics.

Ia menambah sebagai pengeksport bersih minyak mentah dan minyak sawit, Malaysia akan mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi.

Selain itu sektor perlombongan dan pertanian juga meningkat pada suku ketiga selepas terjejas ekoran masalah pekerja semasa awal pandemik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here