KUALA LUMPUR, 15 Nov — Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang  berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal serta komitmen yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggota tentera bersama pasangan di 153 pusat mengundi seluruh negara bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

“Apa yang saya dapati, mereka telah respons untuk pengundian awal dan telah datang beratur sejak pukul 8 pagi,” katanya selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dengan ditemani isterinya Puan Seri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn, dalam Parlimen Setiawangsa.

Beliau mengundi pada 10.30 pagi di saluran 1 di pusat itu yang merupakan antara 10 pusat pengundian awal yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Kuala Lumpur.

Turut melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di sekolah itu ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan isteri.

Affendi turut berharap cuaca baik di seluruh negara akan membantu peratusan tinggi keluar mengundi dalam kalangan tentera.

Proses pengundian awal bermula 8 pagi hingga 5 petang ini.

Mengikut perangkaan SPR sejumlah 117,473 anggota, pegawai dan pegawai kanan ATM di seluruh negara akan menjalankan tanggungjawab melaksanakan pengundian awal.

Sementara itu, Affendi mengulangi pendirian bahawa ATM sedia menghulurkan bantuan kepada SPR, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa awam dalam memastikan proses pengundian pada 19 Nov ini berjalan lancar.

“Kita sekadar membantu SPR sahaja jika ada keperluan bergantung kalau ada perkara-perkara yang tidak diingini seperti bencana banjir,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here