SHAH ALAM, 16 Nov — Sebanyak 2,931 kempen dan ceramah berpermit diadakan di seluruh Selangor oleh parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejak 5 Nov hingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata bagi memastikan setiap kempen dan ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan, pihaknya turut membuat pemantauan di setiap program tersebut.

“Pada 15 November (semalam), sebanyak 70 ceramah dan 105 kempen berpermit diadakan oleh parti yang bertanding, ini menjadikan jumlah keseluruhan kempen dan ceramah yang diadakan bagi tempoh 5 November hingga semalam adalah sebanyak 2,931,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Arjunaidi turut memaklumkan bahawa dalam tempoh sama sebanyak 253 laporan polis berkaitan PRU15 diterima pihaknya, selain sebanyak 19 kertas siasatan sudah dibuka dengan tangkapan seramai lima individu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati calon yang bertanding dan masyarakat agar sentiasa menghormati serta mematuhi lunas undang-undang yang ditetapkan sepanjang PRU15. 

“Elakkan daripada membuat sebarang provokasi dan perkara-perkara yang boleh menimbulkan insiden yang tidak diingini yang sekali gus boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Semalam, seramai 16,799 anggota dan pegawai Polis Selangor menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di 51 tempat mengundi yang menempatkan 93 saluran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here