KUALA LUMPUR, 16 Nov — Polis tidak pernah menolak sebarang permohonan untuk mengadakan ceramah politik bagi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), namun terdapat beberapa kes yang menyaksikan perhimpunan diadakan tanpa permit polis.

Pengarah operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Hazani Ghazali memberi penjelasan tepat mengenai perkara itu.

“Polis tidak pernah menolak permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan permit (ceramah), malah mereka boleh memohon (permit) seperti biasa,” kata pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman itu.

Beliau berkata polis tidak mengenakan sebarang sekatan ke atas parti politik dalam permohonan permit untuk mengadakan ceramah mereka.

“Ada permintaan daripada semua negeri yang terlibat dalam PRU15 untuk mendapatkan permit, dan tiada masalah (dalam soal permohonan permit),” katanya.

Mengulas mengenai punca ada parti politik yang dikesan tidak memiliki permit ceramah, Hazani berkata ia berlaku kerana mereka yang terlibat hendak menyegerakan ‘kerja-kerja’ untuk mengadakan ceramah, tanpa mengikut prosedur operasi standard sedia ada.

“Mereka (parti politik) hendak cepat mengadakan ceramah, dan dikesan mengabaikan peraturan serta undang-undang yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Calon Pakatan Harapan (PH-PKR) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang di Perlis Muhammad Syahmi Suhaimi ketika dihubungi Bernama berkata biarpun urusan permit dipandang enteng, tetapi ia satu-satunya ‘notifikasi’ bagi pihak berkuasa meluluskan aktiviti ceramah dan memantau kandungannya.

“Urusan perolehan permit bagi saya sangat mudah. Permit adalah untuk pihak berkuasa tahu sama ada ceramah itu ada unsur yang tidak sepatutnya, contohnya isu perkauman atau agama,” katanya.

Muhammad Syahmi berkata di Perlis, ahli politik dan calon PRU15 telah diberikan taklimat lebih awal oleh PDRM mengenai urusan berkaitan permit, iaitu hanya perlu mengisi dan menghantar borang permit sekurang-kurangnya dua hari sebelum hari ceramah diadakan. 

Beliau turut berpendapat sekiranya sesuatu ceramah diadakan tanpa permit, ia akan memberi impak langsung kepada calon dan parti itu sendiri.

“Contohnya, jika ahli politik itu melanggar syarat ceramah dan akhirnya ia mengundang kekecohan, ia akan merosakkan nama calon dan parti. Selain itu, ceramah tanpa permit juga lebih menjurus kepada melahirkan komuniti yang percayakan fitnah dan penipuan,” katanya.

Muhammad Syahmi berkata dalam transisi ke arah politik matang, semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan beliau meminta mereka merujuk kepada pihak berkuasa bagi sebarang urusan berkaitan kempen atau ceramah PRU15.

Senada dengan Muhammad Syahmi, calon parti Pejuang bagi kerusi Parlimen Sepang Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata adalah adil bagi pihak berkuasa menetapkan syarat pengambilan permit bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Ketua Pejuanita Pejuang itu berpendapat kebiasaannya keadaan ‘tegang’ akan berlaku dalam kalangan penyokong politik, dan keselamatan orang ramai menjadi perkara mustahak melebihi segalanya.

Calon Pejuang bagi kerusi Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula berkata kadang-kadang ada ahli politik yang terlepas pandang atau lupa untuk mengambil permit kerana kesuntukan masa akibat berkempen.

Untuk mengelakkan perkara sedemikian, Pengerusi Perhubungan Pejuang Wilayah Persekutuan itu berkata beliau mempunyai pasukan pentadbiran yang menguruskan bab kebenaran, permit dan sebagainya.

“Ini musim pilihan raya, banyak benda berlaku secara spontan dan rakyat pula mahu tengok calon secara langsung.

“Apa pun, pemimpin politik mesti mematuhi proses undang-undang yang telah ditetapkan kerana pihak PDRM amat neutral dan efisien,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas usaha menjaga keselamatan setiap calon PRU15 yang keluar berkempen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here