KUALA LUMPUR, 21 Nov — Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sehingga petang ini masih belum mencapai kata sepakat bagi menentukan kerjasama membentuk kerajaan Persekutuan.

Naib Pengerusi BN yang juga Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perbincangan akan diteruskan pada satu lagi mesyuarat, esok. 

“Masih belum ada kata putus, kita akan buat keputusan bersama esok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Terdahulu beberapa pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan BN mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan memandangkan tiada pihak yang memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya mengenai pendirian MCA sama ada mereka bersetuju untuk bergabung dengan PH atau Perikatan Nasional (PN), Wee berkata: “kita melihat semua kemungkinan.”

Sementara itu, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran berkata BN masih meneliti mengenai kerjasama untuk membentuk kerajaan Persekutuan sama ada bersama PH atau PN.

Beliau berkata MIC yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Tapah yang dimenangi Timbalannya Datuk Seri M.Saravanan, akan bersetuju dengan sebarang keputusan anggota Dewan Tertinggi BN. 

“Akuan bersumpah (SD) akan dibuat setelah mencapai keputusan muktamad, mungkin esok,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here