KUALA LUMPUR, 21 Nov — Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan pihak kontraktor akan menjalankan sesi ujian percubaan akhir operasi transit aliran massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Dua, mulai esok hingga 18 Dis ini.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan ujian itu adalah prasyarat yang ditetapkan bagi mengukur dan menguji keberkesanan sistem sebelum kelulusan diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya.

“Ia melibatkan operasi tren ujian dari stesen Putrajaya Sentral hingga stesen Kwasa Damansara. Tren-tren ujian ini akan berhenti di semua stesen MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dan tidak akan mengambil penumpang.

“Ketika sesi ujian percubaan akhir operasi ini dijalankan, kekerapan operasi tren MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu akan berubah kepada lapan minit di waktu puncak pagi serta petang dan 12 minit di luar waktu puncak,” menurut kenyataan itu.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03-78852585 atau melayari media sosial Rapid KL.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here