KUALA KANGSAR, 21 Nov — Pakatan Harapan (PH) menawarkan peranan yang boleh dimainkan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri, antaranya sebagai menteri besar berbanding tiada tawaran diterima daripada Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata itu antara satu faktor beliau menerima tawaran dari PH, selain pelantikan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan speaker DUN dari BN.

“Peranan itu (menteri besar) sesuai pada saya, sebab saya orang yang ketuai Perak Sejahtera 2030, saya nak meneruskannya jadi saya terima.

“Dalam pukul 3 pagi malam keputusan, saya dikunjungi Setiausaha Bersatu negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin, tapi dia kata tidak boleh buat apa-apa mandat sebab mandat dia hanya uruskan perjumpaan saya dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Kemudian kami bertiga bertemu dan saya memaklumkan bahawa telah diberikan tawaran dari PH (menteri besar). Jadi jika PN ingin memberi sebarang tawaran kepada saya, silalah, tapi setakat semalam saya tidak dapat apa-apa,” katanya dalam sidang media selepas selesai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah di sini hari ini.

Saarani berkata kerajaan negeri tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak keruan, apatah lagi DUN perlu bersidang segera bagi membolehkan bajet diluluskan, maka kerana itu beliau untuk bersama-sama membentuk kerajaan yang kuat dan stabil.

Justeru, Pengerusi BN Perak itu berkata atas dasar untuk mewujudkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan, pihaknya telah mengambil keputusan menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Kedua-dua parti juga bersetuju secara dasar bahawa pembentukan kerajaan ini mestilah berpaksikan kepada komitmen bersama dalam menjunjung keluruhan Perlembagaan serta kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu turut memaklumkan, istiadat angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak akan diadakan di Istana Iskandariah di sini 11.30 pagi esok.

Terdahulu, Saarani, ADUN Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak penggal baharu di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, pada 5.40 petang tadi.

Dilapor PH dan BN bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri, selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada pada PRU15, manakala PN memperoleh 26 kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here