KUANTAN, 21 Nov — Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) melantik Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengetuai rundingan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang.

“Perikatan Nasional Pahang akan meneruskan rundingan bagi membentuk kerajaan negeri Pahang seberapa segera,” kata  Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PN Pahang turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Pahang yang telah memberi kemenangan kepada PN Pahang sehingga membolehkan gabungan itu berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri, katanya. 

Kerajaan Negeri Pahang kini masih belum dapat dibentuk selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh 22 kerusi majoriti mudah untuk menjadi kerajaan negeri. 

Pada PRU15, PN menang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Barisan Nasional (BN) 16 kerusi manakala Pakatan Harapan lapan kerusi. 

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, namun proses pengundian DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Dis ini  ekoran kematian calon PN kerusi itu Md Yunus Ramli, 61, pada pukul 3.30 pagi Sabtu, dipercayai akibat serangan jantung. 

Hari ini, Pengerusi DAP negeri Leong Ngah Ngah berkata PH Pahang sedia bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri, namun menunggu keputusan rasmi daripada pimpinan pusat. 

Setakat ini, BN Pahang yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail masih belum memberi apa-apa kenyataan berhubung kesediaan berunding dengan mana-mana parti. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here