ISKANDAR PUTERI, 5 Dis — Sebanyak 15,843 Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang terlibat dalam ekonomi gig telah mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Johor bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata daripada jumlah tersebut, industri pengangkutan penumpang (e-hailing) mencatatkan jumlah OBS tertinggi yang berdaftar dan mencarum iaitu 8,281 orang, industri pengangkutan barangan dan makanan (p-hailing) pula sebanyak 7,236 orang dan selebihnya iaitu 326 orang terlibat dalam lain-lain industri berteraskan ekonomi gig.

“Penglibatan OBS dalam sektor ekonomi gig ini turut menyumbang kepada hasil negara melalui rangsangan pasaran buruh tempatan dan sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan pendapatan individu yang bekerja sendiri terutama di Johor.

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan program dan jaringan keselamatan sosial buat pekerja gig di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohamad Najib Samuri (BN-Parit Yaani) dan Liew Chin Tong (PH-Perling) mengenai usaha kerajaan negeri menggalakkan dan menyokong penglibatan anak muda dalam ekonomi gig serta program dan jaringan keselamatan sosial buat pekerja dalam industri tersebut.

Mohd Hairi berkata antara program berterusan yang dilakukan untuk pekerja ekonomi gig termasuk program pemimpin bersama masyarakat, kempen kesedaran, sesi libat urus dengan kementerian dan agensi yang berkaitan.

“Kerajaan Persekutuan menerusi institusi kewangan juga boleh membantu pengembangan pekerja gig menerusi kaedah baharu untuk mengenal pasti skor kredit bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan mikro kredit untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Menurut beliau, dianggarkan terdapat 1.12 juta individu yang terlibat dalam model ekonomi gig, mengambil peluang menjana pendapatan sama ada sebagai pendapatan tambahan atau pendapatan utama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here