BATANG KALI, 16 Dis — Angka kematian akibat kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan dekat sini, awal pagi tadi kini meningkat kepada 11 orang dan 23 orang lagi masih hilang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mangsa pertama yang terkorban berjaya dikeluarkan mulai 5.40 pagi tadi sehingga 11 pagi tadi.

“Seramai 363 anggota penyelamat daripada 15 agensi kerajaan kini berusaha keras untuk mencari mangsa yang masih hilang dengan dibantu enam ekor anjing pengesan.

“Saya turut mengarahkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) untuk mengerahkan seramai 30 orang anggota Pasukan Gerakan Am Briged Tengah untuk membantu kerja mencari dan menyelamat di sini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution berkata maklumat mengenai jumlah 94 mangsa yang terlibat diperoleh melalui buku pendaftaran yang disediakan oleh operator tapak perkhemahan berkenaan.

“Angka ini mungkin akan berubah berikutan saya difahamkan ada keluarga yang hadir ke sini hanya mendaftarkan nama ketua keluarga sahaja, tetapi saya berharap angka ini tidak akan berubah,” katanya.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution turut mengarahkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah untuk mengeluarkan arahan keselamatan agar semua tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi air ditutup sehingga diberitahu kelak.

“Tapak perkhemahan tidak boleh lagi menerima pelawat dan pengunjung juga tidak boleh ke kawasan sungai di sekitar sini,” katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati pasukan penyelamat menggunakan beberapa jentera berat bagi mengalihkan tanah dan bongkah batu di kawasan runtuhan tanah berkenaan.

Jalan Batang Kali ke Genting Highlands turut ditutup bagi semua kenderaan berikutan kerja-kerja menyelamat yang sedang dijalankan.

Setakat ini 53 mangsa telah dibawa keluar dari kawasan kejadian.

Maklumat awal polis menyatakan kira-kira 100 orang dikhuatiri terperangkap selepas tapak perkhemahan mereka terlibat dengan kejadian runtuhan tanah yang dianggarkan setinggi 30 meter, awal pagi tadi.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here