GEORGE TOWN, 3 Jan — Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Prof Dr Abdul Rahman Mohamed sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata Abdul Rahman sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM dari 1 Mei, 2016 hingga 30 April, 2018 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM dari 1 Mei, 2018 hingga kini. 

“Sebagai satu-satunya universiti awam di Malaysia yang telah dipilih untuk Accelerated Programme for Excellence (APEX), kementerian yakin pelantikan beliau sebagai Naib Canselor USM yang baharu dapat memperkukuhkan lagi sektor pendidikan tinggi negara, seterusnya membina masa depan negara yang lebih mampan dan sejahtera berpaksikan kecemerlangan,” menurut kenyataan itu.

Abdul Rahman berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Southern California, California, United States sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Sains dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di University of New Hampshire, New Hampshire, United States.

“Kementerian Pendidikan Tinggi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan atas jasa bakti beliau menerajui USM sebelum ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here