SHAH ALAM, 11 Jan — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menjalankan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bagi mengesan seorang kru kapal FV SHUENN MAN No. 23 yang terjatuh ke dalam laut di sekitar perairan Pulau Ketam, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata operasi itu dikoordinasikan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang bersambung pada hari kedua, 7 pagi tadi.

Katanya operasi yang turut dibantu oleh KD Teguh Samudera dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tersebut merangkumi keluasan 46.98 batu nautika persegi.

Siva Kumar berkata operasi carilamat mula diaktifkan 4 petang semalam dengan mengatur gerak bot PERKASA 36. 

“Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga ditubuhkan di Jeti Maritim Negeri Selangor. 

“Cuaca di lokasi hujan renyai dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa, warga Indonesia Syaefullah, 27, dipercayai terjatuh ke dalam laut di sekitar perairan Pulau Ketam pada 10.57 pagi semalam dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.

Siva Kumar berkata mangsa kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hijau gelap sebelum dilaporkan hilang di laut. 

“Kapal FV SHUENN MAN No. 23 yang dinaiki mangsa berasal dari Taiwan dan dalam perjalanan ke Pelabuhan Mauritius, Afrika. 

“Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here