SANYA, 13 Jan — Penerbangan HT3818 dengan membawa muatan 10 tan kargo yang berlepas dari Singapura pada Rabu selamat mendarat di sini, sekali gus menandakan penyambungan semula operasi rasmi pelabuhan antarabangsa Lapangan Terbang Phoenix, provinsi Hainan, China.

Menurut maklumat daripada pihak lapangan terbang itu, ia merupakan penerbangan kargo antarabangsa pertama selepas China menyelaraskan dasar pembendungan COVID-19.

Memetik laporan tempatan, sebelum laluan kargo Sanya-Singapura dibuka, barangan import perusahaan bebas cukai di Sanya terpaksa dipindahkan melalui Guangzhou, Beijing dan tempat-tempat lain sebelum diangkut ke Sanya.

Difahamkan, keseluruhan proses pengangkutan itu bukan sahaja menelan kos yang tinggi tetapi juga mengambil masa dan berisiko.

Dengan pembukaan laluan itu masa import barangan bebas cukai boleh dipendekkan kepada tiga jam.  

Sejajar dengan permintaan pasaran, pelan susulan laluan ini adalah untuk mengendalikan dua hingga tiga penerbangan seminggu, terutamanya untuk mengangkut barangan e-dagang rentas sempadan dan barangan bebas cukai.

Laluan ini akan mengoptimumkan rantaian logistik import barangan bebas cukai dan mendorong pembinaan pusat penggunaan pelancongan antarabangsa di Sanya.

Untuk rekod, Lapangan Terbang Phoenix Sanya merancang untuk mempromosikan pembukaan lebih banyak laluan kargo antarabangsa pada masa hadapan.

Laluan-laluan itu dirancang mula beroperasi secara beransur-ansur dalam tahun ini, supaya dapat meningkatkan keupayaan Sanya sebagai hab penerbangan dan mendorong pembinaan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here