GENEVA, 20 Jan — China merekodkan lonjakan ketara jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital sepanjang seminggu sehingga 15 Januari lalu, mencatat angka tertinggi sejak pandemik bermula.

Ia berdasarkan data mingguan terkini yang diterbitkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Bagaimanapun, WHO menjelaskan ia masih menunggu ‘perincian data di setiap wilayah yang dipecahkan mengikut laporan mingguan’ membabitkan hampir 60,000 kematian di hospital berkait dengan COVID-19 yang dilaporkan China minggu lalu.

Laporan WHO yang menggunakan data disediakan Beijing, menunjukkan jumlah pesakit dimasukkan ke hospital di China melonjak 70 peratus kepada 63,307 berbanding minggu sebelumnya.

Ia adalah jumlah mingguan tertinggi yang dilaporkan di China sejak COVID-19 mula dikesan lebih tiga tahun lalu.

Awal bulan lalu, Beijing menamatkan dasar ketat sifar COVID-19 yang dikuatkuasakan selama tiga tahun, membabitkan ujian saringan yang kerap, sekatan perjalanan dan perintah berkurung besar-besaran, susulan protes pada hujung November tahun lalu.

Sejak dasar ketat itu ditamatkan, jumlah kes baharu COVID-19 melonjak di seluruh negara yang memiliki 1.4 bilion penduduk itu.

Sebelum ini, WHO dan beberapa pihak lain mendakwa laporan dikeluarkan China berhubung virus itu dikecilkan berbanding skala sebenar, dan menggesa Beijing memberikan perincian data, termasuk kematian dan penjujukan genom. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here