HONG KONG, 20 Jan — Pesakit COVID-19 di Hong Kong tidak lagi perlu menjalani kuarantin mulai 30 Januari ini, sebagai sebahagian strategi untuk mengembalikan bandar berkenan kepada kehidupan biasa, kata pihak berkuasa semalam.

Status COVID-19 juga ditukar daripada penyakit pernafasan yang serius kepada sejenis penyakit endemik.

Bagaimanapun, orang ramai tetap disaran memakai pelitup muka di lokasi awam dan tertutup, kecuali ketika bersenam.

Sepanjang pandemik coronavirus sejak tiga tahun lalu, Hong Kong turut mematuhi dasar sifar COVID-19 tanah besar China yang mewajibkan individu positif untuk menjalani kuarantin.

Sebahagian besar pesakit dihantar ke hospital atau pusat kuarantin dikendalikan kerajaan, walaupun hanya menunjukkan gejala ringan.

Sekarang, pihak berkuasa berkata pemansuhan arahan dan sekatan terhadap COVID-19 dan pesakitnya juga adalah langkah penting kepada penduduk Hong Kong untuk kembali kepada kehidupan seperti biasa.

Kini, mereka yang dijangkiti boleh menjalani kuarantin kendiri di rumah untuk minimum lima hari dan dibenarkan keluar jika ujian negatif selama dua hari berturut-turut.

Ketua eksekutif Hong Kong, John Lee, memberitahu ahli Parlimen bahawa keputusan itu didorong oleh kadar vaksinasi tinggi di bandar berkenaan selain imuniti masyarakat tempatan yang kuat.

Malah, ia juga sejajar dengan langkah pemansuhan dasar sifar COVID-19 yang diambil China sejak 8 Januari lalu.

Minggu lalu, perkhidmatan kereta api laju antara Hong Kong dan China disambung semula buat kali pertama sejak pandemik COVID-19.

Penyelia Pusat Perlindungan Kesihatan, Edwin Tsui, berkata mereka yang tidak mengalami gejala bebas bergerak termasuk ke tempat kerja tetapi pelajar yang dijangkiti tidak boleh ke sekolah sehingga disahkan negatif COVID-19.

Hong Kong, yang sebelum ini melaksanakan peraturan ketat COVID-19, kini melonggarkan sebaghagian besar larangan demi pemulihan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here