BEIJING, 27 Jan — Tahun 2023 diharap bukan sahaja membawa harapan kepada China, malah kepada kerjasama seluruh dunia, kata Penyelaras Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di China, Siddharth Chatterjee dalam ucapannya sempena Tahun Baharu China (TBC) 2023.

Chatterjee yang kini menyambut TBC buat kali ketiga di China, beranggapan bahawa Tahun Arnab akan membawa penuh kedinamikan dan harapan.

“Saya berpendapat hubungan rakan antara PBB dengan kerajaan China melakar banyak hasil yang menggalakkan pada tahun 2022.

“PBB dan China telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Bersama (JSC) Kerangka Kerja Kerjasama Pembangunan Mampan PBB (UNSDCF) untuk China bagi memperkasakan kerjasama kedua-dua pihak,” kata beliau.

Chatterjee juga menzahirkan rasa optimistik terhadap tahun 2023.

“Pada awal Februari nanti, pegawai kanan PBB, Csaba Korosi akan mengadakan lawatan ke Beijing yang merupakan lawatan rasmi kali pertamanya ke China sejak dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Agung PBB.

“Pelaksanaan UNSDCF untuk China (2021-2025) memasuki fasa pertengahan pada 2023, selain itu, kerjasama antara PBB dengan China juga memperoleh peluang baik susulan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) kerana kami akan menyenaraikan GDI ke dalam piawaian dan standard antarabangsa.

“Ini sejajar dengan konsensus yang dicapai Setiausaha Agung PBB dengan Presiden China, dan dijangka menyuntik momentum yang jitu kepada kewujudan matlamat pembangunan mampan,” katanya.

Chatterjee berkata China ialah negara pembayar kedua terbesar baik dari segi yuran PBB mahupun dari segi pembiayaan misi pengaman PBB dan menganggap peranan China dalam PBB sebagai amat signifikan.

“COVID-19 masih menular di dunia, isu perubahan iklim dan ketidaksamaan amat membimbangkan, selain itu konflik tercetus di beberapa tempat di dunia.

“Sebagai negara anggota penting PBB dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China telah memainkan peranan sewajarnya untuk mengatasi masalah itu,” kata beliau. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here