KUALA LUMPUR, 2 Feb — Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan disasarkan bagi membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas dengan harga lebih rendah.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pakej itu selaras dengan komitmen kerajaan menurunkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata pakej itu menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had yang berharga hanya RM69 sebulan dan mula ditawarkan pada Mac ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan.

“Harga pakej ditawarkan 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89, bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Fahmi berkata pakej berkenaan adalah dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja seiring dengan hasrat meringankan beban rakyat malah merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan serta kebajikan rakyat.

Selain itu, ia juga adalah usaha dalam memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga lebih rendah seiring konsep Malaysia Madani, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here