KUALA LUMPUR, 8 Feb – Ekonomi Malaysia berpotensi besar untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada penggunaan sambungan 5G terutamanya dalam industri perladangan yang mempunyai kekuatan dalam kalangan pemain global, kata Groupe Speciale Mobile Association (GSMA).

Ketua GSMA Asia Pasifik Julian Gorman berkata negara ini harus memberikan lebih tumpuan kepada mempelbagaikan teknologi dengan mengguna pakai 5G dalam industri untuk memanfaatkan kelebihan evolusi kesalinghubungan terkini.

Beliau berkata Malaysia terkenal dengan keupayaan perladangan dan teknologi pertaniannya, dan ia boleh menggunakan sepenuhnya rangkaian 5G dengan menggunakan teknologi terkini dalam industri daripada menumpukan kepada liputan populasi 5G untuk mengukur kejayaan pelaksanaannya. 

“Malaysia mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi 5G untuk ekonominya, contohnya, (menggunakan) pembangunan dron dalam aktiviti pertanian,” katanya.

Bercakap kepada Bernama di luar forum Masa Depan Ekonomi Digital Melalui 5G (FDET 5G), di sini hari ini, Gorman berkata perjalanan pelaksanaan 5G Malaysia masih di peringkat awal dengan lebih banyak ruang untuk penambahbaikan.

“Sejak pelancaran rangkaian 5G di Malaysia, negara mempunyai cita-cita untuk menjadi peneraju dalam 5G di rantau ini, tetapi pada masa ini matlamat ini belum tercapai. Ia adalah proses maraton ke arah matlamat akhir.

“Walaupun memilih laluan berani bagi rangkaian borong tunggal untuk melaksanakan rangkaian 5G di seluruh negara, ia perlu mempunyai strategi lengkap tentang cara mengimbangi had dan kerumitan laluan yang diperlukan dalam menggunakan teknologi 5G,” katanya.

Sementara itu, Gorman menyatakan bahawa teknologi 5G di seluruh dunia masih menyediakan peluang yang luas untuk penerokaan lanjut kerana ia berada di peringkat awal.

Masih terdapat proses peningkatan evolusi yang akan berlaku di sekitar teknologi 5G dan terdapat lebih banyak peluang inovasi dan transformasi untuk dibincangkan dalam kalangan pemain industri dalam penerapan evolusi 5G termaju, katanya.

Beliau berkata selepas lebih tiga tahun sejak pelancaran rangkaian 5G komersial global, hanya 30 peratus daripada pemain global telah menggunakan 5G, manakala banyak negara belum melancarkan rangkaian itu. 

“Secara global, kami hanya bercakap tentang 40 rangkaian kendiri dan 230 rangkaian bukan kendiri di kira-kira 80 negara di seluruh dunia, dan terdapat hanya 700 pengendali mudah alih yang menawarkan rangkaian 5G di seluruh dunia…kita masih perlu melalui perjalanan panjang sebelum bercakap tentang 6G.

“Terdapat banyak usaha yang perlu dilakukan dalam beberapa tahun akan datang melibatkan transformasi 5G dan kami tidak menjangkakan bahawa teknologi 6G akan berada di sini dalam tempoh terdekat, bukan sebelum 2030,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here