NIBONG TEBAL, 8 Feb – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan inisiatif menggunakan tenaga solar bagi menjana tenaga elektrik yang lebih lestari melalui pemasangan sistem solar panel fotovoltaik (PV) di Kampus Kejuruteraan, di sini yang dapat menampung hingga 45 peratus penggunaan tenaga tahunan daripada tenaga boleh baharu berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Inovasi dan Masyarakat USM Prof Dr Azlan Amran berkata projek pemasangan sistem berkenaan di 19 lokasi premis di Kampus Kejuteraan itu menelan kos RM14 juta melalui kaedah pelawaan memberi cadangan (RFP) yang dimulakan pada 10 Jun 2022 dan siap sepenuhnya 19 Dis 2022.

“Inisiatif tenaga elektrik yang lebih lestari melalui pemasangan sistem solar PV di Kampus Kejuruteraan dengan kapasiti maksimum 4.3 MWp (Megawatt Peak) dapat menampung hingga 45 peratus penggunaan tenaga tahunan daripada tenaga boleh baharu tersebut.

“Kampus Kejuruteraan USM dijangka dapat mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida hingga 97,000 tan metrik bagi tempoh 25 tahun akan datang dan secara tidak langsung kami dapat menjayakan konsep kampus lestari yang menjadi matlamat utama USM iaitu Sustainability@USM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Projek Penjanaan Tenaga Boleh Baharu Melalui Pemasangan Sistem Solar PV Kampus Kejuruteraan USM yang turut dihadiri Pengarah Kampus Kejuteraan Prof Datuk Dr Nor Azazi Zakaria.

Azlan berkata hasil daripada penjanaan tenaga solar itu juga, USM Kampus Kejuruteraan dijangka dapat menjimatkan hingga 30 peratus bil utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya selain itu, tenaga elektrik yang dijana melalui solar PV juga boleh mencapai hingga 75 peratus beban maksimum pada satu-satu masa.

Beliau berkata dengan segala manfaat yang ada, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) melalui kontraktor utama Sunway Engineering Sdn Bhd telah melaksanakan inisiatif pemasangan sistem solar PV di Kampus Kejuruteraan.

“Oleh kerana kos pemasangan yang tinggi, USM telah mengambil insiatif bekerjasama dengan pemain industri melalui kaedah RFP dan Sunway Engineering Sdn Bhd telah tampil sebagai kontraktor utama kepada projek ini dan kelebihan PV bukan sahaja menyumbang penjimatan bil elektrik malah apa yang penting aspek kelestarian dengan misi USM iaitu mentransformasikan pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here