HONG KONG, 8 Feb – Sejak berkuat kuasa pada awal 2022, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah membantu menggalakkan integrasi nilai dan rantaian bekalan, menurut artikel di laman sesawang Zhongguopinglun (China review).

Penguatkuasaan RCEP juga telah mengukuhkan keyakinan dalam pemulihan ekonomi serantau dan mewujudkan dorongan baharu untuk pertumbuhan perdagangan dan pelaburan di rantau ini dan dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Rundingan Perdagangan Antarabangsa Kementerian Perdagangan Thailand, Oramon Subthawitham, berkata jumlah nilai import-eksport antara Thailand dan negara anggota RCEP menyumbang lebih 50 peratus daripada perdagangan luar Thailand.

Pelaksanaan RCEP yang berkesan mempunyai impak yang besar dalam menggalakkan perdagangan antara Thailand dan negara anggota RCEP yang lain, kata Subthawitham lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menurut data Kementerian Perdagangan Kemboja, eksport negara itu ke negara anggota RCEP pada separuh pertama 2022 meningkat hampir 10 peratus tahun ke tahun.

Timbalan Setiausaha Negara dan Jurucakap Kementerian Perdagangan Kemboja Bin Soviji berkata RCEP dan Perjanjian Perdagangan Bebas Kemboja-China menjadi faktor penting dalam meningkatkan pertumbuhan eksport Kemboja.

Bagi Vietnam, eksport makanan laut negara itu juga melonjak. Vietnam mengeksport makanan laut ke lebih 160 pasaran di seluruh dunia dengan eksport ke negara anggota RCEP menyumbang lebih 63 peratus.

Dalam tempoh 10 bulan pertama 2022, eksport makanan laut Vietnam meningkat 34 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Menurut perangkaan Pentadbiran Am Kastam China (GACC), jumlah perolehan import dan eksport antara China dan rakan kongsi RCEP pada 2022 mencecah lebih 12.95 trilion CNY (AS$1.9 trilion), meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun atau menyumbang 30.8 peratus daripada jumlah dagangan asing China.

Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) Rebecca Greenspan berkata dalam konteks penurunan keterbukaan global, peningkatan kos perdagangan selain sekatan dalam rantaian bekalan, RCEP berjaya memberi sumbangan ketara kepada ekonomi global.

RCEP dianggotai 10 negara ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, serta lima rakan dagang mereka, China, Jepun, Republik Korea, Australia dan New Zealand.

Ia merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia dan dilaksanakan di 14 negara anggota.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here