PUTRAJAYA, 8 Feb – Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih US$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, beliau berkata Jemaah Menteri bersetuju menyediakan US$1 juta manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan menyumbang US$1 juta lagi bagi tujuan tersebut.

Dalam pada itu, katanya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga akan menyumbang RM1 juta yang sebahagian bantuan itu akan disalurkan ke Turkiye dan Syria.

Gempa bumi besar dengan magnitud 7.8 pada skala Richter  melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua ke Turkiye malam ini untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

Pasukan kedua di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan dianggotai 70 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Ini kerana pasukan pertama sangat berkesan, Turkiye memohon tambah anggota,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here