JOHOR BAHRU, 12 Feb — Sepasang suami isteri merupakan antara sembilan individu yang ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini, Kota Tinggi dan Mersing dengan rampasan bernilai lebih RM1 juta.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP M.Kumar berkata kesemua enam lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 19 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, di tiga daerah terbabit, pada 8 Feb hingga semalam.

Beliau berkata seorang penjawat awam lelaki berusia 33 tahun antara suspek yang ditahan.

“Kita menghidu kegiatan pengedaran dadah ini sejak Disember tahun lepas, susulan itu satu operasi khas dilancarkan untuk mengenal pasti ahli-ahli sindiket.

“Penjawat awam tersebut kita syaki antara salah seorang individu yang terlibat edar dadah, begitu juga suami isteri dan yang lain. Siasatan juga masih diteruskan untuk mengesan dalang dan saki baki ahli sindiket,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kumar berkata modus operandi sindiket itu adalah menjadikan rumah yang berpagar dan dikawal (gated & guarded) serta kereta sebagai tempat penyimpanan dadah, sebelum ia diedarkan untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata sebanyak 24.69 kilogram syabu, 3.56 kg heroin, 337 gram ketamin, 2,540 biji pil erimin 5 dan 1.20 liter air ketum dengan keseluruhan nilai lebih RM1 juta itu turut dirampas dalam serbuan.

Turut disita, enam kereta bernilai RM582,000, empat motosikal bernilai RM57,000, barangan kemas RM11,859 dan wang tunai berjumlah RM2,710.

Beliau berkata kesemua yang ditahan, direman tujuh hari bermula 8 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here