PARIS, 14 Feb – Gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu, disenaraikan sebagai kelima terburuk dalam abad ini.

Berikut adalah 10 bencana gempa bumi paling buruk berdasarkan jumlah kematian, sejak 2000:

1) Pada 26 Disember 2004, gempa bumi amat kuat berukuran 9.1 magnitud melanda perairan Sumatera, sekali gus mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 230,000 nyawa di rantau terbabit dengan 170,000 mangsa adalah rakyat Indonesia. Ia menyaksikan gelombang ombak besar mencecah ketinggian 30 meter dengan kelajuan 700 kilometer sejam, membadai segala yang berada dalam laluannya.

2) Pada 12 Januari 2010, gempa bumi berukuran tujuh magnitud menggegarkan ibu negara Haiti, Port-au-Prince serta wilayah di sekitarnya. Bencana itu menyebabkan Haiti terputus hubungan dengan seluruh dunia selama 24 jam dan mengorbankan lebih 200,000 mangsa, selain kira-kira 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal serta banyak kemudahan musnah.

3) Di Sichuan, China, lebih 87,000 orang termasuk 5,335 pelajar sekolah terbunuh atau disahkan hilang selepas gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud melanda barat daya wilayah itu pada 12 Mei 2008. Bencana itu turut mengakibatkan kira-kira 7,000 sekolah musnah atau mengalami kerosakan teruk, sekali gus menimbulkan dakwaan salah laku termasuk kemungkinan rasuah dalam pembinaan bangunan berkenaan.

4) Pada 8 Oktober 2005, lebih 73,000 mangsa terkorban dalam insiden gempa bumi di Kashmir, selain 3.5 juta lagi penduduk hilang tempat tinggal.

5) Pada 6 Februari 2023, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud dan satu lagi gegaran kuat 7.5 magnitud melanda Turkiye serta Syria yang menyaksikan jumlah korban sudah hampir mencecah 36,000, setakat ini.

6) Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud yang melanda tenggara Iran pada 26 Disember 2003, memusnahkan bandar purba Bam dan meragut sekurang-kurang 31,000 nyawa.

7) Gujarat di India mengalami gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada 26 Januari 2001 yang mengorbankan lebih 20,000 mangsa. Ia mengakibatkan banyak bangunan ranap, dengan jumlah kematian paling tinggi direkodkan di bandar Bhuj yang terletak berhampiran sempadan Pakistan.

8) Pada 11 Mac 2011, Jepun dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 9.0 magnitud yang mencetuskan tsunami. Kira-kira 18,500 mangsa maut atau hilang apabila arus deras gelombang ombak dengan kelajuan seperti jet, membawa kemusnahan besar di sepanjang pantai timur laut. Malah, bencana itu turut menjejaskan loji nuklear Fukushima Daiichi sehingga berlaku pencemaran radiasi, menyebabkan beberapa bandar berdekatan tidak boleh didiami selama bertahun-tahun dan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal.

9) Pada 25 April 2015, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Nepal, mengakibatkan runtuhan salji dan tanah runtuh sehingga memusnahkan banyak bangunan termasuk sekolah serta hospital. Bencana itu meragut hampir 9,000 nyawa dan jutaan penduduk hilang tempat tinggal. Ia juga memusnahkan lebih seratus monumen, termasuk kuil berusia ratusan tahun serta istana di Lembah Kathmandu.

10) Pada 26 Mei 2006, Indonesia mengalami gempa bumi yang menggegarkan Pulau Jawa, berhampiran bandar Yogyakarta, sekali gus mengorbankan sekitar 6,000 orang, manakala lebih 420,000 penduduk hilang tempat tinggal dan kira-kira 157,000 kediaman musnah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here