SERI KEMBANGAN, 16 Feb – Ekspo Halal Malaysia 2023, yang menumpukan pengukuhan pasaran halal domestik, menyasar untuk menjana potensi jualan bernilai RM3 juta hingga RM5 juta.

Acara tiga hari bermula 1 Sept, 2023 yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di sini itu juga menyasar untuk menarik 30,000 pengunjung.

Pengerusi Penganjuran dan Ketua Pegawai Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd, Khairul Shahril Hamzah berkata acara yang julung kali diadakan itu akan mengetengahkan 300 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mereka mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing serta memperoleh pendedahan dan pengetahuan untuk mengakses pasaran global.

“Acara ini menyasar untuk memperkukuh PKS tempatan yang merupakan tulang belakang ekonomi kita.

“Saya yakin apabila menghimpunkan semua di bawah satu bumbung, acara ini akan menjadi pencapaian penting bagi industri halal Malaysia, dengan agensi kerajaan akan berada di sana untuk menyokong dan memudah cara pihak industri,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal dan sidang media mengenai acara itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata antara agensi kerajaan yang akan membantu PKS semasa acara itu ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membantu PKS meneroka pasaran eksport dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pensijilan halal.

Agensi lain Halal Development Corporation Bhd akan menyentuh usaha memupuk industri halal dan Perbadanan Produktiviti Malaysia akan memberi garis panduan mengenai inovasi dan produktiviti, katanya.

Ekspo bertemakan ‘Memperkasakan Tempatan bagi Kemampanan Global’ akan menonjolkan kepelbagaian industri halal di Malaysia termasuk makanan dan minuman; kosmetik; farmaseutikal; pendidikan; e-dagang dan pendigitalan; pelancongan; fesyen; pematuhan syariah; kewangan Islam dan menjadi mesra muslim.

Khairul Shahril berkata menerusi usaha memanfaatkan kelebihan yang dimiliki Malaysia dengan ekosistem halal yang matang, ekspo ini akan menjadi pemboleh untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam mengubah Malaysia menjadi pusat rangkaian pengedaran global dan memudah cara pengeksportan produk halal Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here