KUALA LUMPUR, 17 Feb – Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini, hari ini.

Ketibaan beliau dan isteri Elke Budenbender pada 10 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Jerman dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Presiden Jerman kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama RAMD yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.

Lawatan negara terakhir melibatkan presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here