ANTAKYA, 20 Feb – Satu lagi gempa bumi kuat melanda wilayah sempadan Turkiye dan Syria dengan kekuatan magnitud 6.3 pada kedalaman hanya 2 kilometer (km), kata Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC).

Pusat gempa dikesan berhampiran bandar Antakya di selatan Turkiye di mana gegarannya turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan.

Gempa pada jam 8.04 malam semalam (jam 1.04 pagi waktu Malaysia) ini turut diikuti beberapa gegaran susulan termasuk satu gempa bumi berukuran 5.8 magnitud.

Gempa kali ini berlaku hanya dua minggu selepas kawasan itu musnah akibat gegaran lebih kuat yang mengorbankan lebih 47,000 orang dan merosakkan serta memusnahkan ratusan ribu kediaman.

Mangsa terpaksa tinggal di kediaman yang rosak kerana ketiadaan khemah yang mencukupi untuk mereka di luar.

Ahli Geologi Universiti Teknikal İstanbul, Prof Okan Tüysüz, memberitahu NTV gempa bumi kali ini adalah berbeza dan bukan gempa susulan.

Rakaman video menunjukkan orang ramai berlari dalam keadaan panik serta pasukan mencari dan menyelamat serta ambulans di jalan raya.

Terdahulu ahli seismologi telah memberi amaran bahawa gempa bumi 6 Februari boleh mencetuskan gegaran lain di rantau ini, meminta orang ramai menjauhi bangunan yang rosak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here