ALOR SETAR, 24 Feb – Tiga calon bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO telah mengesahkan akan bertanding untuk merebut jawatan itu pada Pemilihan UMNO 2023-2026 , setakat ini.

Setiausaha Pemuda UMNO Datuk Hasmuni Hassan berkata bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula empat individu telah mengemukakan borang pencalonan mereka.

“Setakat ini, tiga calon iaitu Dr Muhamad Akmal Saleh, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan Meor Hassan Mat Ali telah mengemukakan borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Seorang lagi calon iaitu Datuk Armand Azha Abu Hanifah saya difahamkan akan menghantar borang pencalonan hari ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Pergerakan Pemuda UMNO peringkat Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata empat calon bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO yang telah mengemukakan borang pula adalah Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, Mohd Hairi Mad Shah dan Muhammad Farhan Khairuddin.

Sementara itu, dalam sidang media sama Mohd Nazifuddin berkata dia tidak menganggap kedudukannya sebagai anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan laluan mudah untuk memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO.

“Tak kisah anak Najib atau tidak, masih ada kemungkinan untuk kalah atau menang, jadi saya menghormati proses pemilihan…jadi saya kena kerja lebih kuat untuk mendapat sokongan,” katanya yang turut akan bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here