KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pameran automotif Malaysia Autoshow 2023 anjuran Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 4 hingga 7 Mei ini.

MARii memaklumkan Malaysia Autoshow 2023 yang bertemakan “Mobility Redefined” akan mengetengahkan tiga tambahan baharu iaitu Malaysia Bike Show, Malaysia EV Show dan Charged, meliputi pasaran automotif yang lebih luas

“Dewan C MAEPS akan menempatkan Malaysia Bike Show yang menonjolkan gaya hidup dua roda, dari sports bike kepada trail dirt bike.

“Sementara itu, Dewan D akan menempatkan Malaysia EV Show dan Charged yang mempamerkan kenderaan elektrik, teknologi pengecas, serta aksesori, komponen dan aplikasi digital yang terlibat di dalam ekosistem EV,” menurut kenyataan itu.

Pengunjung juga berpeluang memenangi Perodua Alza menerusi Peraduan Pengunjung Malaysia Autoshow 2023.

Dalam pada itu, Malaysia Autoshow akan turut mengadakan pelbagai aktiviti automotif dan gaya hidup termasuk Dewan Premium dikhaskan bagi mempamerkan teknologi termaju yang ditawarkan oleh segmen premium dan Drift Taxi-ride bagi mereka yang inginkan pengalaman kenderaan berkuasa tinggi.

Pengerusi MARii Datuk Phang Ah Tong dalam kenyataan sama berkata Malaysia Autoshow membuka peluang bagi pemain industri untuk berinteraksi secara langsung dengan orang ramai, di samping menonjolkan elemen di sebalik tabir dan insan yang mereka bentuk dan membina kenderaan.

“Orang ramai berpeluang melihat teknologi dan perkembangan terbaharu di dalam industri automotif, dari kenderaan elektrik dan kenderaan berautonomi, kepada kemajuan di dalam keselamatan dan kecekapan (tenaga).

“Industri automotif kini giat membuat kenderaan yang bukan sahaja lebih mesra alam, tetapi lebih selamat dan menyeronokkan untuk dipandu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here