JOHOR BAHRU, 28 Feb – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama (PBT) di negara ini yang menggunakan aplikasi pengurusan tempat letak kereta secara digital sepenuhnya menerusi MBJB Spot V2.

Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman berkata penambahbaikan aplikasi itu daripada aplikasi terdahulu “MBJB Spot”, menyaksikan penambahan beberapa fungsi lain khususnya permohonan petak rizab bagi penjaja dan premis perniagaan secara dalam talian serta penggabungan paparan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar MBJB dalam satu aplikasi sahaja.

“Aplikasi (yang) kini mempunyai sebanyak 400,000 pengguna berdaftar ini, juga membenarkan pemilik akaun membuat bayaran bagi pihak ketiga yang tidak mempunyai akaun dengan cara mendaftarkan nombor kenderaan mereka di dalam akaun pemilik dan terus membuat pembayaran secara dalam talian.

“Selain itu, aplikasi ini turut diintegrasikan dengan sistem i-Trafik, yang membantu pengguna jalan raya mengetahui situasi aliran trafik di pusat bandar, jadi mereka boleh merancang perjalanan sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya pada mesyuarat penuh MBJB di sini, hari ini.

Justeru, katanya, warga bandar raya MBJB disaran memuat turun aplikasi tersebut kerana segala urusan tempat letak kereta di bawah pentadbiran badan itu telah digitalkan sepenuhnya dan tiada lagi penggunaan kupon parkir mulai 1 Jun ini.

MBJB akan turut memasang tambahan 500 unit CCTV di lokasi tumpuan dan panas sekitar bandar raya, tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here