BANGKOK, 28 Feb – Amerika Syarikat dan Thailand pada Selasa memulakan latihan ‘Cobra Gold’ berskala penuh bagi meningkatkan kesalingoperasian ketenteraan di rantau ini.

Dianjurkan bersama oleh Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTARF) dan Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat (USINDOPACOM), penganjuran kali ke-42 membabitkan 7,394 anggota dari 30 negara.

Latihan ketenteraan itu diadakan di Rayong, Sa Kaeo, Chantaburi dan Lopburi antara 27 Feb hingga 10 Mac.

Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Chalermphon Srisawasdi dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Thailand Robert F. Godec mempengerusikan majlis perasmian ‘Cobra Gold 2023’ di Pangkalan Udara Tentera Laut Diraja Thailand, Armada Udara Diraja Thai di Rayong pada Selasa.

Komander Indo-Pasifik Amerika Syarikat, Laksamana John Aquilino berkata latihan ketenteraan Cobra Gold akan mengukuhkan keupayaan merancang, menjalankan operasi gabungan dan operasi pengaman di semua domain.

“Melalui Cobra Gold, kami menunjukkan keazaman untuk bertindak balas bersama-sama bagi memelihara Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka supaya semua negara dapat mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran,” katanya pada majlis perasmian hari ini.

Sementara itu, Chalermpol berkata Cobra Gold adalah simbol kesinambungan dan pembangunan kerjasama ketenteraan.

Dalam edisi Cobra Gold kali ini, latihan teras termasuk Command Post Exercise (CPX) merupakan latihan kekuatan menyeluruh untuk mengendalikan semua operasi domain – darat, laut, udara, siber dan angkasa, latihan kemanusiaan dan bantuan bencana serta latihan lapangan.

Terdapat tujuh negara yang mengambil bahagian sepenuhnya iaitu Thailand, Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia.

Ia adalah kali keenam Malaysia menyertai Cobra Gold dan seramai 43 anggota tentera menyertai latihan tahunan itu.

Sementara itu, China, India, dan Australia menyertai latihan bantuan kemanusiaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here