KUALA LUMPUR, 28 Feb – Australia menghormati sebarang keputusan kerajaan Malaysia berhubung operasi loji nadir bumi di Gebeng, Pahang milik Lynas Rare Earths Ltd, kata Menteri Luar Australia Penny Wong.

Beliau berkata elemen nadir bumi merupakan bahagian penting dalam ekonomi baharu, termasuk dalam tenaga boleh baharu dan teknologi tinggi yang lain.

“Saya tahu ia telah menjadi isu sejak sekian lama. Jadi kita semua perlu mencari cara untuk memastikan kita boleh melombong dan memproses dengan cara yang boleh mengekalkan kecekapan syarikat kerana kita semua perlukan nadir bumi ini,” kata menteri luar itu.

Wong berkata Australia dan Lynas sentiasa meletakkan tahap perlindungan tertinggi ke atas alam sekitar.

Walaupun Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) telah meluluskan pembaharuan lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk tempoh tiga tahun dari 3 Mac 2023 hingga 2 Mac 2026, aktiviti pemecahan dan larut lesap (C&L) yang menghasilkan sisa radioaktif tidak lagi boleh dijalankan di Gebeng, Pahang selepas 1 Julai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Chang Lih Kang pada 15 Feb lepas berkata semua syarat lesen yang telah diputuskan untuk tempoh 3 Mac 2020 sehingga 2 Mac 2023 juga mesti terus dipatuhi oleh Lynas.

“Aktiviti lain yang tidak melibatkan pengeluaran sisa radioaktif dibenarkan terus beroperasi,” katanya.

Sejak beroperasi di Malaysia pada 2012, Lynas telah mengeluarkan kira-kira 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif (sisa WLP), dan jumlah itu dijangka mencecah 1.2 juta tan metrik menjelang Julai 2023

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here