JOHOR BAHRU, 2 Mac – Seramai 200 murid daripada 10 sekolah di daerah ini menerima sumbangan beg dan pakaian seragam sekolah sebagai persediaan persekolahan bulan ini.

Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA Holdings Bhd Mohd Nazri Jamiran berkata bantuan yang diberikan kepada murid memerlukan menerusi UDA Cares; Back To School 2023 itu melibatkan peruntukan sebanyak RM56,000.

Beliau berkata pemberian sumbangan itu antara langkah proaktif UDA dalam mendekati dan menyumbang kembali kepada komuniti serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Bertepatan dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat UDA, satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kami berbesar hati untuk menyalurkan sumbangan.

“Program tahunan ini juga secara tidak langsung bertujuan meringankan bebanan ibu bapa bagi persediaan pembukaan sesi persekolahan,” katanya.

Mohd Nazri berkata antara sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar UDA 2, SK Taman Perling, SK Sungai Danga dan SK Tasek Utara.

Sementara itu, beliau berkata baru-baru ini, sumbangan seumpama itu turut diberikan kepada 449 murid daripada 14 sekolah di Kadamaian dan Penampang di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM60,000.

“Saya berharap murid yang diraikan dalam program ini akan lebih bersemangat mengikuti sesi persekolahan. 

“Semoga usaha UDA ini dapat bersama-sama kerajaan dan kementerian, melahirkan modal insan yang cemerlang serta generasi masa hadapan yang menyumbang ke arah pembangunan Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata insiatif pemberian sumbangan itu juga seiring dengan penjenamaan baharu UDA: LIFE yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti serta memfokuskan kelangsungan dan kelestarian dalam kehidupan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here