KUALA LUMPUR, 2 Mac – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjsama bagi menyelesaikan isu kesesakan kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terminal dua, KLIA2.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pihak imigresen telah meninjau kaunter terbabit semalam dan membangunkan rancangan bagi penyelesaian isu itu.

Maklumat lanjut mengenai rancangan itu akan dibincangkan dengan pihak KDN manakala kementeriannya akan memantau rapi masalah itu bagi mengelakkan industri pelancongan terjejas.

“Pelancong-pelancong masuk kita tidak mahu waktu menunggu mereka terlampau panjang,” katanya selepas merasmikan Seminar UFI Asia-Pasifik 2023 dianjurkan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pelancong dari 10 negara berisiko rendah iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Australia, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom boleh memanfaatkan kemudahan pagar automatik untuk mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.

Sementara itu Tiong berkata seminar tersebut memberi makna signifikan kepada industri pelancongan negara dan MOTAC secara proaktif sentiasa menyokong acara dan aktiviti perniagaan yang menarik delegasi yang memberi pulangan tinggi ke Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here