MARANG, 9 Mac – Bilangan pesakit kanser di Terengganu meningkat kepada 1,223 orang pada tahun lepas berbanding 1,193 orang pada 2021.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Kasemani Embong berkata peratusan tertinggi melibatkan pesakit kanser payudara iaitu 23.89 peratus, diikuti kanser kolon (11.8 peratus) dan kanser paru-paru (11.8 peratus).

Beliau berkata antara punca utama peningkatan itu ialah amalan gaya hidup yang tidak sihat terutama dari segi pemakanan dan kurang aktiviti fizikal.

“Walaupun kita tahu memang ada sebahagian kes kanser ini disebabkan keturunan atau sejarah keluarga, tetapi perlu juga ada perubahan dalam aspek gaya hidup sihat. Corak pemakanan menyihatkan dan melakukan aktiviti fizikal perlu diutamakan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Menurutnya lebih membimbangkan apabila 60 peratus pesakit kanser yang datang mendapatkan rawatan sudah berada pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat.

Selain itu, Kasemani berkata kesedaran masyarakat terhadap kepentingan melakukan pemeriksaan atau saringan kesihatan awal bagi mencegah kanser juga masih berada pada tahap yang rendah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here