SHAH ALAM, 11 Mac – Kerajaan Selangor hari ini menafikan dakwaan wujudnya unsur kroni berkaitan pembelian rumah pertama Rumah Selangorku.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail berkata isu kroni bukan masalah utama sebaliknya ia berpunca daripada kekuatan pinjaman yang dimiliki oleh bakal pembeli rumah tersebut.

“Kadang-kadang namanya sudah masuk (dalam senarai menunggu pembelian) dan dia berpeluang (untuk mendapatkan Rumah Selangorku), tapi tidak lulus pinjaman jadi namanya digugurkan.

“Jadi hanya mereka yang mempunyai (lulus) pinjaman sahaja yang dapat (memiliki Rumah Selangorku). Kroni itu bukan isu dan saya rasa (dakwaan itu) tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran BPEX Harta Tanah Bumiputera Selangor di Central i-City di sini hari ini.

Rodziah turut menegaskan pihaknya tidak mempunyai senarai nama tertentu bagi membolehkan pihak berkenaan memperoleh unit Rumah Selangorku.

“Semua permohonan untuk membeli Rumah Selangorku dibuat secara dalam talian menerusi sistem khas dan ia dipantau oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Kita juga ada audit dalaman yang akan melihat bagaimana LPHS meluluskan pembelian rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata hampir 1,500 unit kediaman dan pejabat untuk kuota bumiputera ditawarkan di sekitar Selangor bermula pada harga RM230,000 ke atas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here