JOHOR BAHRU, 14 Mac – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja, selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapat nasihat dan arahan selanjutnya.

Polis telah mengambil keterangan daripada 14 individu warga tempatan dan tiga warga asing bagi membantu siasatan.

“Polis Johor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukuln 3.30 petang Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kamarul Zaman berkata kedua-dua lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here