BUTTERWORTH, 19 Mac – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang diberi tempoh sebulan untuk memuktamadkan perbincangan dan mencapai persetujuan dengan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung peruntukan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau menerima arahan daripada pimpinan tertinggi gabungan politik itu semalam untuk memulakan rundingan dengan BN, bagaimanapun setakat ini perbincangan tersebut belum dimulakan.

“Kami baru menerima arahan untuk berunding tetapi kami belum memulakannya. Dengan arahan terbaru itu, kami mempunyai tempoh masa sebulan dari semalam, untuk memuktamadkan rundingan.

“Proses ini akan berterusan sehingga persetujuan dapat dicapai, kami menjangkakan beberapa pusingan rundingan. Pusingan pertama rundingan akan bermula dengan parti komponen PH dan selepas itu kami akan berunding dengan BN,” katanya.

Ketika ditanya sama ada DAP Pulau Pinang sudah mula menapis calon berpotensi untuk pilihan raya negeri akan datang, Chow yang juga pengerusi parti negeri berkata perkara itu akan diselesaikan secara peringkat demi peringkat, kerana parti itu perlu terlebih dahulu mengetahui berapa banyak kerusi yang boleh ditandingi.

Namun demikian Chow berkata beliau berharap, DAP akan terus menang dengan cemerlang dan mengekalkan 19 kerusinya di Pulau Pinang, jika tidak lebih lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here