KUALA LUMPUR, 20 Mac – Honda Malaysia merancang untuk melancarkan empat model baharu tahun ini yang termasuk tiga model serba baharu serta satu model yang diberikan wajah baharu.

Satu daripada model yang bakal diperkenalkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil pertama Honda yang dirancang dilancarkan pada suku ketiga 2023, kata presiden merangkap ketua pegawai operasinya, Sarly Adle Sarkum.

“Selepas dilancarkan kelak, Honda Malaysia akan menjadi pengeluar kereta Jepun pertama memasuki segmen SUV kecil,” katanya.

SUV kecil itu yang dilengkapi dengan pakej reka bentuk dinamik, teknologi canggih, penggunaan praktikal yang lebih selesa, disasarkan kepada golongan profesional muda dan keluarga yang gemar melakukan aktiviti luar serta mengembara menaiki kereta.

“Honda Malaysia berusaha untuk meningkatkan momentumnya tahun ini menerusi pelancaran model baharu dan aktiviti pemasaran.

“Bagi mengukuhkan lagi identiti teras dan kehadiran jenama dalam industri, kami menumpu untuk memanfaatkan tiga tonggak utama bagi model kami, iaitu, teknologi canggih, penawaran premium dan daya tarikan sporty (bergaya),” katanya.

Teknologi hibrid

Honda Malaysia juga akan memantapkan lagi teknologi hibrid yang diperkenalkannya di pasaran Malaysia 19 tahun lalu.

“Sejak itu teknologi hibrid telah berkembang pesat bermula dengan Integrated Motor Assist (IMA), diikuti oleh Sport Hybrid intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD), dan kini kami melangkah setapak lagi kehadapan dengan teknologi kenderaan elektrik hibrid (e:HEV).

“Elektrifikasi (pengelektrikan) adalah trend global dan masa depan mobiliti bagi industri automotif. Oleh itu, Honda juga meningkatkan usaha pembangunan kenderaan elektriknya (EV).

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menambah baik keselesaan pelanggan, Honda Malaysia akan memperkenalkan Pit Stop 2S (Servis dan Alat-Alat Ganti) dan meningkatkan aktiviti selepas jualannya bagi menampung permintaan daripada pelanggan sedia ada dan yang berpotensi, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here