KUALA LUMPUR, 31 Mac - Pada Minggu Epidemiologi ke-12 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,469 kes berbanding 2,151 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 318 kes (14.8%). Satu (1) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-12 tahun 2023.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 26,222 kes berbanding 8,124 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 18,098 (222.8%). Manakala sebanyak 17 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding empat (4) kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian.

Sebanyak 81 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 91 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 52 lokaliti hotspot di Negeri Selangor, 15 lokaliti hotspot di Pulau Pinang, enam (6) lokaliti hotspot di Sabah, empat (4) lokaliti hotspot di WPKL & Putrajaya, tiga (3) lokaliti hotspot di Perak dan satu (1) lokaliti hotspot di Kedah.

Survelan chikungunya merekodkan sebanyak satu (1) kes pada minggu ke-12. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 107 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 600 sampel darah dan empat (4) sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Susulan peningkatan kes denggi di Malaysia, Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi telah diaktifkan semula dan satu mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri pada 28 Mac 2023. Jawatankuasa ini melibatkan 12 kementerian, semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta Jabatan Wilayah Persekutuan dalam penentuan dasar dan strategi pencegahan dan kawalan denggi di Malaysia.

Setiap lapisan masyarakat perlu mengambil tanggungjawab dan bertindak secara proaktif dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat ketika ini. Pemimpin setempat, Jawatankuasa Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Board – JMB), ahli Rukun Tetangga atau pihak berwajib juga diminta menggerakkan komuniti untuk melakukan aktiviti Cari dan Musnah pembiakan nyamuk Aedes secara berjadual. Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat swasta turut digalakkan untuk menyokong inisiatif kawalan dan pencegahan secara berjadual. Lakukan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan persekitaran premis dari tempat pembiakan nyamuk Aedes. Tiada Aedes, tiada Denggi, Chikungunya, dan Zika.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here